Halaman

Isnin, 19 Januari 2015

Manusia-Manusia Toksik Dalam Masyarakat

Kegagalan kepimpinan mengekang gerak-gerak sumbang manusia toksik dalam masyarakat di peringkat akar umbi adalah antara faktor penyumbang kegagalan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan di akar umbi. Manusia-manusia toksik inilah yang kalau tidak dibendung dari awal bukan saja merosakkan persepsi masyarakat kepada kepimpinan kerajaan malah turut mampu menghalang masyarakat daripada mendapat manfaat yang sepatutnya daripada kerajaan memerintah.

Manusia-manusia toksik ini dari semasa ke semasa akan sentiasa cuba mendekati dan meyakinkan kepimpinan sehingga kepimpinan benar-benar percaya dengan dakyah dan maklumat tidak tepat daripada mereka sehingga mampu mempengaruhi keputusan-keputusan penting kepimpinan yang seharusnya tepat bagi menentukan masa depan masyarakat keseluruhannya.

Begitulah keadaan yang berlaku dengan cadangan pembinaan bangunan masjid di Kg. Saman yang dibantah oleh Badan Surau Kg. Jembulang dengan mengemukakan maklumat-maklumat palsu kepada pihak YB, semata-mata untuk menidakkan cadangan tersebut. Tahun 2014 yang begitu banyak cerita berkenaan gerak laku terdesak manusia-manusia toksik dalam cuba menidakkan usaha dan kesungguhan ahli-ahli jawatankuasa organisasi kampung yang masih terus bertahan mengemudi amanah masyarakat.

Menghapuskan sepenuhnya manusia-manusia toksik ini bermakna kita perlu menghapuskan keselesaan mereka. Manusia-manusia toksik ini mengambil kesempatan ke atas keadaan masyarakat yang berpecah belah dan mereka selesa bergerak dalam keadaan tersebut untuk menanam rasa dan persepsi negatif dalam diri masyarakat, yang akhirnya akan mencetuskan rasa-rasa memberontak yang terlahir daripada rasa dan persepsi yang ditanam dalam diri masyarakat oleh manusia-manusia toksik itu tadi.

Alhamdulillah... Bukan mudah untuk mengekang manusia-manusia toksik ini, juga bukan mudah untuk manusia-manusia toksik ini cuba meracun pemikiran masyarakat di Kg. Saman. Cubaan mengumpul tandatangan menggunakan nama UMNO Cawangan yang dibawa oleh manusia-manusia toksik ini kepada penduduk, nyata tidak semudah itu dapat mempengaruhi penduduk bagi menghalang berdirinya sebuah bangunan kemudahan di Kg. Saman. Allah Maha Besar.. PerancanganNya lah yang lebih besar daripada perancangan manusia. Syabas untuk semua yang masih berdiri dan yakin lah, kebenaran akan tetap berdiri... dan yang bathil akan tetap hancur...

2015, pasti lebih banyak ranjau yang perlu direntasi, yang kalau tidak diperhalusi kaedah mengatasi dengan sebaiknya akan merosakkan usaha dan harapan masyarakat keseluruhan. Gelanggang ini kecil saja, tetapi cukup memberi cabaran yang membuatkan kita berfikir yang mana satu lebih penting dan menjadi keutamaan, menjaga perpaduan dengan membiarkan tindakan-tindakan sumbang manusia toksik berleluasa atau memerangi mereka yang sudah ternyata kerakusannya dalam menjahanamkan keharmonian dalam masyarakat keseluruhannya.

Berusahalah terus tanpa mengeluh... Yakinlah, kerja-kerja yang benar sentiasa dipimpin Allah SWT... Bait bicara tersohor berbunyi "Asas kepada perjuangan ialah JANGAN LARI"... berjuanglah terus memerangi manusia-manusia toksik dalam masyarakat...