Halaman

Selasa, 23 April 2013

Kacau Ganggu Dalam Akta 171

Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kg. Saman yang baru-baru ini mencetus konflik dalaman antara JKKK, penternak kambing dan ketua kampung. Tanah perkuburan ini yang dipagar setelah mendapat peruntukan daripada kerajaan menjadi begitu universal secara tiba-tiba apabila orang luar secara mudah dikebumikan di tanah ini tanpa perlu untuk mengemukakan apa-apa yang sepatutnya untuk membolehkan pihak kepimpinan memberi kebenaran untuk tujuan tersebut. Perkara berkaitan pengurusan tanah perkuburan ini kita akan bincang dalam entry yang akan datang, kerana masih ada pihak yang menidakkan hak kepimpinan Kg. Saman untuk mengurus-tadbir tanah perkuburan ini. 

Sesuatu yang kita jarang tahu ialah adanya Akta 171 yang menjaga kepentingan penduduk kampung dalam konteks masyarakat kita di Tuaran yang rata-rata tinggal di kampung. Secara kasar, memelihara kambing atau itik atau mana-mana binatang yang sama waktu dengannya adalah kelihatan tidak terlalu menjejaskan suasana kampung, tapi sebenarnya dari segi kebersihan ianya tersangat-sangat berpotensi memberi kesan kepada kebersihan kawasan kampung, dengan najis-najis yang tidak mudah reput, ianya boleh saja mengganggu ketenteraman penduduk dalam sebuah kawasan kampung. 

Di Kg. Saman, aktiviti menternak kambing tidaklah menjadi terlalu kompleks pada mulanya sehinggalah aktiviti ini dilihat mula memberi kesan kepada kebersihan tempat-tempat awam seperti tanah perkuburan yang juga sentiasa dikunjungi oleh orang-orang luar. Kita menerima laporan daripada pengunjung yang menegur pengurusan berkenaan hal itu. Dan kita akui bahawa memang terdapat najis-najis binatang tersebut dalam kawasan tanah perkuburan terutama di dalam pondok yang disediakan. 

Atas sebab itu, dalam beberapa mesyuarat JKKK yang diadakan, pengerusi bersama ahli bersepakat untuk bukan hanya tidak membenarkan binatang-binatang ternakan seperti kambing untuk berada dalam kawasan tanah perkuburan malah untuk menghalang mana-mana individu yang menjadikan pondok kubur sebagai  tempat melepak dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat pada waktu malam. Untuk tujuan tersebut, pintu utama tanah perkuburan dikunci dan tiga (3) anak kunci telah dipersetujui diamanahkan kepada Ketua Kampung, Timbalan Pengerusi JKKK dan Pengerusi JKKK.

Sepatutnya keputusan mesyuarat JKKK ini memberi impak yang positif untuk beberapa perkara antaranya, mengawal kemasukan orang luar / asing untuk dikebumikan dalam kawasan tanah perkuburan Kg. Saman, memelihara kebersihan kawasan tanah perkuburan daripada najis-najis binatang seperti kambing dan memastikan tiada tempat untuk anak-anak muda menjalankan aktiviti yang tidak sihat dalam pondok kubur. Alhamdulillah.. secara perlahan-perlahan kita sudah hampir mencapai tiga (3) perkara tersebut, apabila tidak ada lagi aktiviti sosial yang tidak sihat berlaku dalam kawasan tanah perkubura seperti dulu di mana pondok kubur sentiasa menjadi "port" untuk mat-mat gian menghisap gam dan sebagainya. 

Konflik berkenaan kunci pagar tanah perkuburan ini timbul apabila ada pihak yang mengambil ringan masalah najis kambing dalam kawasan perkuburan. Walhal sepatutnya kalau tidak dalam kawasan tanah perkuburan pun, dalam kawasan kampung sahaja sudah tidak dibenarkan binatang-binatang ini bebas berleluasa, kerana ia dilihat boleh mencipta "kacau ganggu" untuk masyarakat lain. Istilah "kacau ganggu" digunakan dalam Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dalam seksyen 80-82 yang menerangkan bagaimana pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang "kacau ganggu" dalam satu kawasan penduduk. Dan jelas dinyatakan dalam seksyen 81 Akta 171, 81. 

"Bagi maksud Akta ini, tindakan boleh diambil secara terus di bawah Akta ini atas perkara yang berikut:

(a) mana-mana premis atau mana-mana bahagiannya dari sesuatu binaan atau dalam sesuatu keadaan yang boleh menjadi suatu kacau ganggu;

(b) apa-apa binatang yang disimpan dalam sesuatu tempat atau dengan sesuatu cara atau dengan sebegitu besar bilangannya hingga menjadi suatu kacau ganggu; 
..................
.................."

Kesimpulannya, kita punya kuasa untuk mengenakan tindakan seperti yang diperuntukan undang-undang tapi kita masih punya rasa toleransi dan hormat menghormati yang sangat tinggi kepada sesama penduduk kampung, kerana yang paling penting untuk menjamin keharmonian hidup sesama penduduk ialah sedaya upaya mengekalkan perpaduan dan meminimumkan kesalahfahaman sesama penduduk. Sehingga pada satu tahap, bila keputusan-keputusan mesyuarat tidak diendahkan dan kita mula dicabar dengan perilaku-perilaku yang tidak sepatutnya, maka kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret kebatilan ke muka pengadilan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.