Halaman

Sabtu, 13 April 2013

Tulus Menulus Yang Merugikan Kerajaan Dan Masyarakat

Alhamdulillah... Dengan pelbagai kekangan dan halangan dari dalam dan luar yang tidak pernah langsung diketahui oleh orang lain, masih lagi saya bersama anggota-anggota kepimpinan kampung tetap teguh selama bertahun-tahun untuk terus menerus sedaya upaya mengubah panorama fizikal masyarakat dan seterusnya mencapai impian untuk menjadi satu komuniti yang boleh dibanggakan pada satu masa nanti. Saya masih berkira-kira untuk bermula dari mana untuk merungkai konspirasi "dajal kecil" yang menangguh perkembangan Kampung Saman. Inshaa Allah.. akan saya kongsikan satu persatu dengan harapan menjadi pengajaran kepada kepimpinan dan masyarakat lain.

Sebelum ini saya tertanya-tanya dan tercari-cari apa masalah sebenarnya sehinggakan pembangunan fizikal terasa terlalu sukar untuk bertapak di Kampung Saman. Kita tidak rasa yang kita menyokong pembangkang malah terus-terusan mengagung-agungkan kerajaan walaupun seringkali para pendokong harapan kerajaan kepada rakyat di kampung-kampung dan jabatan-jabatan dilihat sudah tidak relevan untuk menjadi peneraju kepada masyarakat yang semakin hari semakin meluat dengan pelbagai karenah mereka yang berjuang demi kepentingan diri dan  keluarga.

Satu sindrom yang hanya menguntungkan satu belah pihak ialah "tulus-menulus". Berkali-kali kita bangkitkan isu "tulus menulus" yang dilihat sudah terlalu sinonim dengan kita. "Tulus menulus" itu sebenarnya amat baik untuk ahli-ahli kita yang setia, bukan untuk mereka yang tidak jelas pendirian mereka sama ada bersama-sama kerajaan atau pembangkang. Setiap tahun malah setiap PRU, muka-muka itu saja yang "ditulus-tulus", padahal belum pun terbukti mereka ini mampu berdiri sendiri untuk mengancam parti kerajaan. Adakah UMNO yang sudah cukup banyak mengharungi cabaran selama ini hanya tunduk mengalah dan memenuhi apa yang mereka hajatkan?

Kita sedia maklum, bahawa kita kalau boleh, segala hal mahu diperhalusi secara lembut dan halus. Konon-konon tidak mahu kecoh-kecoh, ibarat menarik benang dalam tepung, benang tidak putus dan tepung tidak berterabur. Tetapi akhirnya mereka itu juga yang membebankan kita dan rakyat. Apakah kita tidak boleh berdepan secara terus dengan mereka-mereka ini apabila mereka berpihak dengan pembangkang ? Berilah peluang pada mereka untuk berjuang mengikut acuan mereka sendiri tanpa perlu "ditulus-tulus". Kalau ditulus sekali sahaja tidak apa la. Tapi kalau sudah berkali-kali setiap tahun dan setiap pilihanraya, kita yang setia dengan BN selama ini akan rasa pelik, penting sangatkah orang-orang yang ditulus ini sedangkan mereka hanya membawa senarai nama penduduk kepada YB yang kononnya memihak kepada mereka sedangkan nama-nama itu hanya disenarai tanpa pengetahuan penama sebenar. Kita mahu risau apa dengan tu senarai? Itu yang saya pelik.

Perjuangan yang haq tidak mungkin takut untuk berdepan dengan perjuangan yang batil. Sebab itu, dalam Islam sebenarnya tidak ada istilah "diluah mati emak, ditelan mati bapa", kerana yang haq tetap haq, dan yang batil tetap batil. Tiada kompromi untuk "tulus menulus". Kita cuma ada kesempatan untuk duduk semeja berbincang percanggahan pendapat bukan kesempatan untuk ditulus dan menulus. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.