Halaman

Khamis, 20 Februari 2014

JAWAPAN DAKWAAN "SEKELUMIT" INDIVIDU YANG MENGATAKAN JKKK MEMBELAKANGKAN KEPERLUAN REKREASI MASYARAKAT.

1. Keputusan untuk mengunapakai kawasan padang Kg. Saman sebagai tapak untuk pelbagai bangunan kemudahan di masa depan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Kampung (PTPK) Kg. Saman 2011-2013, sudah pun dipersetujui oleh dua (2) orang pemegang amanah, Ketua Kampung (surat bertarikh 09 Februari 2012) dan Ketua Daerah (surat bertarikh 7 Mac 2012) serta Pegawai Daerah selaku Penolong Pemungut Hasil Tanah Tuaran (surat bertarikh 14 Mac 2012).

2. Di dalam PTPK 2011-2013 yang dibentuk oleh Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) pada akhir tahun 2010 yang lalu, pelbagai pertimbangan dibuat untuk memastikan perkembangan pembangunan jasmani dan rohaniah masyarakat dapat diseimbangkan sebaiknya. Dengan mengenalpasti masalah-masalah semasa dan potensi-potensi utama Kg. Saman, semua faktor ini digarap membentuk satu dokumen hala tuju pembangunan kampung bagi memastikan Kg. Saman akan terus relevan sebagai sebuah kampung di masa akan datang.

3. Justeru, apabila segala usaha ini sudah mencapai kemuncaknya pada tahun 2014 dengan pertamanya respon YB untuk mewujudkan masjid di Kg. Saman, kita menyambut baik cadangan ini, walaupun dalam PTPK 2011 - 2013 kita hanya mensasarkan sebuah bangunan surau sahaja, yg mana bukan hanya digunakan sebagai tempat solat semata-mata malah akan dioptimumkan penggunaannya memandangkan , sehingga kini Kg. Saman tidak memiliki apa2 bangunan kemudahan yang boleh digunakan untuk sebarang aktiviti masyarakat. Seiring dengan usaha menjana mengembleng perkembangan rohaniah tersebut, kita meneruskan agenda memperkasa kampung sebagai pusat segala aktiviti sukan dan rekreasi di Mukim Berungis, dengan sokongan beberapa badan penting seperti Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang pasti akan terus merancakkan penganjuran aktiviti dan program masyarakat di Kg. Saman khususnya.

4. Bagi memastikan Kg. Saman terus menjadi peneraju segala aktiviti dan program rekreasi di Mukim Berungis atau mungkin di daerah Tuaran khasnya, jenis-jenis aktiviti rekreasi yang berpotensi di masa-masa akan datang serta yang bertepatan dengan keperluan sukan kanak-kanak sekolah rendah di Sk. Berungis, adalah menjadi keutamaan. Justeru, beberapa jenis sukan seperti Bola Tampar, Sepak Takraw, Bola Baling, Bola Jaring dan Futsal menjadi pilihan. Maka dengan setiap apa yang kita rancang selama ini, kita sebenarnya bukanlah melenyapkan kelebihan yang kita ada selama ini secara percuma, tetapi sebenarnya kita di pihak JKKK menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh kampung untuk membentuk peluang dan kesempatan yang lebih besar untuk seluruh masyarakat umumnya mendapat kemudahan dalam satu pusat segala aktiviti dan program di Kg. Saman.

5. Nyata dalam PTPK 2011-2013 tidak timbul soal kita melupakan keperluan rekreasi masyarakat, malah kita sebenarnya merancakkan aktiviti rekreasi masyarakat dengan bermacam jenis sukan yang dikenalpasti. Alhamdulillah setakat ini, kita menerima respon yang memberangsangkan daripada pelbagai pihak dan mudah-mudahan apa yang dirancang selama ini menjadi kenyataan. InshaaAllah...

P/s - Bila kita yang memimpin dan perlu membuat keputusan bagi pihak yang kita pimpin, buatlah keputusan seolah-olah kita jugalah pihak yang dipimpin, kerana seharusnya impak daripada keputusan kita harus sama rata, bukan hanya terkesan kepada mereka yang kita pimpin malah turut juga tercalit pada diri kita sebagai pemimpin.. Dan jika sudah nyata akan kebenaran sesuatu perkara seharusnya keputusan perlu terus dibuat tanpa perlu lagi meninjau faktor-faktor lain yang belum tentu sahihnya.. Kerana boleh jadi kita terperangkap dan bersubahat menidakkan kebenaran nyata tanpa kita sedar.. Semoga yang terbaik untuk kita... Dan yang SATU menjadi keagungan.. amin.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.