Halaman

Rabu, 12 Mac 2014

JAWAPAN DAKWAAN KONONNYA KG. SAMAN MENGANGGU PERMOHONAN BADAN SURAU KG. JEMBULANG

Bismillahirahmanirahim..

1. Pelbagai spekulasi yang wujud berkenaan kehilangan pesawat MAS BOEING 777-200 : MH370 , menjadikan diri kita yang masih mahu berfikir, berfikir betapa pentingnya untuk bersatu-padu dalam usaha-usaha yang baik untuk bukan saja sebenarnya membangunkan masyarakat malah turut melindungi masyarakat daripada ancaman luar yang memang tidak akan senang hati dengan keharmonian kita di Malaysia. Keharmonian kita di Malaysia umpama satu malapetaka bagi mereka. Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama mendoakan semoga yang terbaik untuk kita semua.. dan semoga kerja-kerja mencari dan menyelamat akan dapat membuahkan hasil secepat yang mungkin. InshaaAllah..

2. Untuk penulisan kali ini, saya berfikir panjang untuk bagaimana memulakan penulisan supaya setiap yang membaca dapat memahami bagaimana kita di Kg. Saman sebulat suara, begitu berusaha untuk mendapatkan sebuah surau dan kemudahan-kemudahan lain yang berpotensi. Sehinggalah Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Bin Hj. Noor mencadangkan kepada kita untuk dibina sebuah masjid utama untuk kemudahan tiga (3) buah kampung yang bersebelahan, iaitu Kg. Saman, Kg. Jembulang dan Kg. Kupang, walaupun pada awalnya kita hanya memohon sebuah surau dan menyokong naik taraf Surau Kg. Jembulang sebagai sebuah masjid, kerana seperti yang dijelaskan oleh Yang Berhormat, kita menyedari jarak antara Kg. Saman dan Kg. Jembulang tidak memungkinkan untuk wujud dua (2) buah surau yang berhampiran. Atas sebab itulah, kita di Kg. Saman sebelum ini menyokong untuk surau tersebut dinaiktaraf sebagai sebuah masjid untuk membolehkan kita membina surau di Kg. Saman.

3. Meskipun di atas kertas dan melalui ucapan lisan Surau Kg. Jembulang itu adalah tempat utama untuk penduduk Kg. Saman, Kg. Jembulang dan Kg. Pensurun berjemaah, hakikatnya tidaklah semudah itu, kerana selama ini kepimpinan Kg. Pensurun dan Kg. Saman sebenarnya tidak dilibatkan secara langsung ke dalam pengurusan badan surau Kg. Jembulang yang dilabel sebagai kemudahan ibadat yang dikongsi di mata luar tetapi hakiaktnya segala keputusan bagi tujuan pelaksanaan dan tindakan tidak menggunapakai pandangan kepimpinan kampung lain, dengan kata lain, mengunapakai nama penduduk kampung bersebelahan tetapi membelakangkan peranan kepimpinan kampung tersebut. Hasilnya selepas beberapa tahun, hanya bangunan surau yang bertambah besar dengan peruntukan-peruntukan pembesaran bangunan daripada kerajaan tetapi bilangan jemaah tetap begitu juga yang saya pasti antara faktor mengapa pihak JHEAINS tidak meluluskan permohonan-permohonan mereka sebelum ini.

4. Permohonan sebuah surau di Kg. Saman sudah pun dibuat oleh pihak JKKK Kg. Saman melalui JHEAINS Tuaran pada tahun 2007 dan dalam tempoh beberapa tahun selepas itu pihak JKKK sudah beberapa kali merujuk semula permohonan sehinggalah permohonan ini dirujuk kepada JHEAINS Negeri di Kota Kinabalu, dan kemuncak kepada permohonan ini ialah respon daripada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima yang mencadangkan pembinaan sebuah masjid berdasarkan kedudukan dan tanah lapang yang tersedia di Kg. Saman adalah sangat sesuai untuk dipilih sebagai lokasi utama. Justeru, melalui saya sendiri sebagai setiausaha, Yang Berhormat mengarahkan satu mesyuarat khas diadakan oleh JKKK Kg. Saman antara tiga (3) kepimpinan utama kampung-kampung yang dimaksudkan sebelum ini bagi memaklumkan cadangan Yang Berhormat tersebut. Alhamdulillah.. Pada 31 Januari 2014 , Hari Jumaat , Jam 9.00 pagi , Mesyuarat khas diadakan di rumah pengerusi JKKK Kg. Saman dan boleh dirumuskan melalui mesyuarat itu bahawa cadangan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua pemimpin ketiga-tiga buah kampung. Hanya Badan Surau Kg. Jembulang sahaja yang tidak bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat, sebaliknya mempersoalkan mengapa permohonan naik taraf surau mereka menjadi masjid tidak diluluskan oleh pihak JHEAINS yang sudah pun saya nyatakan jawapannya dalam bahagian yang sebelum ini.

5. Pada 09 Februari 2014, Hari Ahad , Jam 9.30 pagi, Pengerusi JKKK Kg. Saman mengetuai rombongan seramai lebih kurang tiga puluh (30) orang, berkunjung ke rumah Yang Berhormat di Kg. Serusup, Tuaran bertujuan untuk memaklumkan laporan mesyuarat khas yang diadakan seperti yang diarahkan oleh Yang Berhormat sendiri. Walaupun pada masa itu, lima (5) orang wakil daripada Jawatankuasa Badan Surau Kg. Jembulang secara tiba-tiba sampai dan menyertai rombongan di hadapan Yang Berhormat dan menghulurkan dua (2) keping kertas kepada Yang Berhormat, yang disangkakan minit mesyuarat Badan Surau Kg. Jembulang bersama penduduk  Kg. Jembulang oleh rombongan. Selepas kertas itu dihulurkan kepada Yang Berhormat dengan makluman-makluman lisan daripada Pengerusi Badan Surau Kg. Jembulang pada ketika itu yang mencadangkan projek pembesaran bangunan surau di Kg. Jembulang dan projek membina bangunan sekolah agama di Kg. Saman, dan dengan saranan Yang Berhormat, Pengerusi JKKK Kg. Saman bersetuju dengan serta merta dengan cadangan tersebut. 

6. Dalam perkara seperti ini , apa yang saya persoalkan ialah bagaimana boleh Jawatankuasa Badan Surau Kg. Jembulang menjadi lebih dominan daripada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Jembulang dan Ketua Kampung Kg. Jembulang dalam menentukan keputusan-keputusan yang mewakili penduduk di Kg. Jembulang, ,sedangkan sepatutnya badan surau yang tidak berdaftar, di mana-mana kampung pun seharusnya berada di bawah pengurusan JKKK dn Ketua Kampung. Sebab itu saya mengatakan tindakan seperti itu adalah tidak sepatutnya berlaku atau dalam erti kata lain tindakan yang "palui". Walaupun mereka ada memohon menaiktaraf surau menjadi masjid sebelum ini, bagi yang faham dan mahu faham, sebenarnya ianya tiada kena mengena dengan permohonan sebuah bangunan surau di Kg. Saman. Malah mungkin akan mempercepatkan proses naiktaraf tersebut kerana bila wujud surau di Kg. Saman, maka tidak boleh tidak, sebuah masjid perlu ada di Kg. Jembulang. Tetapi itu tidak berlaku, Yang Berhormat dn pihak JHEAINS pasti lebih arif dengan perkara ini sehingga Yang Berhormat mencadangkan sebuah masjid di Kg. Saman tetapi tidak di Kg. Jembulang.

7. Saya menulis berkenaan perkara ini semula memandangkan ada beberapa pihak yang tidak faham dan tidak mahu faham tetapi cuba menyebarkan spekulasi yang meletakkan JKKK Kg. Saman di tempat yang salah, yang kononnya kita menganggu pengurusan Jawatankuasa Badan Surau Kg. Jembulang dalam usaha mereka untuk meniktaraf surau tersebut menjadi masjid, sedangkan usaha mereka itu tanpa pihak JHEAINS datang pun, kita sedar ianya tidak bertepatan dengan tujuan menyebabkan matlamat asal untuk mendapat taraf sebagai sebuah masjid hanya tinggal angan-angan. Justeru saya menyeru kepada mereka-mereka yang kurang faham atau tidak faham langsung berkenaan perkara ini, janganlah menghukum kita di Kg. Saman seolah-olah kita yang menganggu pengurusan kampung orang lain, sedangkan selama ini kita hanya memohon sesuatu bagi pihak kita lengkap dengan rasional-rasional yang tercetus hasil beberapa siri mesyuarat bersama penduduk, dan bukan dibuat-buat. Semoga yang terbaik untuk semua. Kita sekarang ini menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Yang Berhormat sendiri, sebagai tanda kita menghormati Yang Berhormat dan inshaaAllah.. di lain masa kita akan rujuk semula permohonan surau kita untuk ke sekian kalinya (entah sudah berapa kali) kepada pihak JHEAINS..

*Nota - Pada 12hb. Februari 2014, laporan polis dibuat kerana kita mengesyaki maklumat palsu yang diberikan kepada Yang Berhormat dan bukannya untuk membantah keputusan Yang Berhormat. Sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi, kita mengambil serius perkara ini kerana ianya mempengaruhi keputusan-keputusan YB sebagai Menteri yang akan memberi kesan kepada masyarakat.

Khamis, 20 Februari 2014

JAWAPAN DAKWAAN "SEKELUMIT" INDIVIDU YANG MENGATAKAN JKKK MEMBELAKANGKAN KEPERLUAN REKREASI MASYARAKAT.

1. Keputusan untuk mengunapakai kawasan padang Kg. Saman sebagai tapak untuk pelbagai bangunan kemudahan di masa depan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Kampung (PTPK) Kg. Saman 2011-2013, sudah pun dipersetujui oleh dua (2) orang pemegang amanah, Ketua Kampung (surat bertarikh 09 Februari 2012) dan Ketua Daerah (surat bertarikh 7 Mac 2012) serta Pegawai Daerah selaku Penolong Pemungut Hasil Tanah Tuaran (surat bertarikh 14 Mac 2012).

2. Di dalam PTPK 2011-2013 yang dibentuk oleh Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) pada akhir tahun 2010 yang lalu, pelbagai pertimbangan dibuat untuk memastikan perkembangan pembangunan jasmani dan rohaniah masyarakat dapat diseimbangkan sebaiknya. Dengan mengenalpasti masalah-masalah semasa dan potensi-potensi utama Kg. Saman, semua faktor ini digarap membentuk satu dokumen hala tuju pembangunan kampung bagi memastikan Kg. Saman akan terus relevan sebagai sebuah kampung di masa akan datang.

3. Justeru, apabila segala usaha ini sudah mencapai kemuncaknya pada tahun 2014 dengan pertamanya respon YB untuk mewujudkan masjid di Kg. Saman, kita menyambut baik cadangan ini, walaupun dalam PTPK 2011 - 2013 kita hanya mensasarkan sebuah bangunan surau sahaja, yg mana bukan hanya digunakan sebagai tempat solat semata-mata malah akan dioptimumkan penggunaannya memandangkan , sehingga kini Kg. Saman tidak memiliki apa2 bangunan kemudahan yang boleh digunakan untuk sebarang aktiviti masyarakat. Seiring dengan usaha menjana mengembleng perkembangan rohaniah tersebut, kita meneruskan agenda memperkasa kampung sebagai pusat segala aktiviti sukan dan rekreasi di Mukim Berungis, dengan sokongan beberapa badan penting seperti Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang pasti akan terus merancakkan penganjuran aktiviti dan program masyarakat di Kg. Saman khususnya.

4. Bagi memastikan Kg. Saman terus menjadi peneraju segala aktiviti dan program rekreasi di Mukim Berungis atau mungkin di daerah Tuaran khasnya, jenis-jenis aktiviti rekreasi yang berpotensi di masa-masa akan datang serta yang bertepatan dengan keperluan sukan kanak-kanak sekolah rendah di Sk. Berungis, adalah menjadi keutamaan. Justeru, beberapa jenis sukan seperti Bola Tampar, Sepak Takraw, Bola Baling, Bola Jaring dan Futsal menjadi pilihan. Maka dengan setiap apa yang kita rancang selama ini, kita sebenarnya bukanlah melenyapkan kelebihan yang kita ada selama ini secara percuma, tetapi sebenarnya kita di pihak JKKK menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh kampung untuk membentuk peluang dan kesempatan yang lebih besar untuk seluruh masyarakat umumnya mendapat kemudahan dalam satu pusat segala aktiviti dan program di Kg. Saman.

5. Nyata dalam PTPK 2011-2013 tidak timbul soal kita melupakan keperluan rekreasi masyarakat, malah kita sebenarnya merancakkan aktiviti rekreasi masyarakat dengan bermacam jenis sukan yang dikenalpasti. Alhamdulillah setakat ini, kita menerima respon yang memberangsangkan daripada pelbagai pihak dan mudah-mudahan apa yang dirancang selama ini menjadi kenyataan. InshaaAllah...

P/s - Bila kita yang memimpin dan perlu membuat keputusan bagi pihak yang kita pimpin, buatlah keputusan seolah-olah kita jugalah pihak yang dipimpin, kerana seharusnya impak daripada keputusan kita harus sama rata, bukan hanya terkesan kepada mereka yang kita pimpin malah turut juga tercalit pada diri kita sebagai pemimpin.. Dan jika sudah nyata akan kebenaran sesuatu perkara seharusnya keputusan perlu terus dibuat tanpa perlu lagi meninjau faktor-faktor lain yang belum tentu sahihnya.. Kerana boleh jadi kita terperangkap dan bersubahat menidakkan kebenaran nyata tanpa kita sedar.. Semoga yang terbaik untuk kita... Dan yang SATU menjadi keagungan.. amin..