Halaman

Selasa, 23 April 2013

Kacau Ganggu Dalam Akta 171

Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kg. Saman yang baru-baru ini mencetus konflik dalaman antara JKKK, penternak kambing dan ketua kampung. Tanah perkuburan ini yang dipagar setelah mendapat peruntukan daripada kerajaan menjadi begitu universal secara tiba-tiba apabila orang luar secara mudah dikebumikan di tanah ini tanpa perlu untuk mengemukakan apa-apa yang sepatutnya untuk membolehkan pihak kepimpinan memberi kebenaran untuk tujuan tersebut. Perkara berkaitan pengurusan tanah perkuburan ini kita akan bincang dalam entry yang akan datang, kerana masih ada pihak yang menidakkan hak kepimpinan Kg. Saman untuk mengurus-tadbir tanah perkuburan ini. 

Sesuatu yang kita jarang tahu ialah adanya Akta 171 yang menjaga kepentingan penduduk kampung dalam konteks masyarakat kita di Tuaran yang rata-rata tinggal di kampung. Secara kasar, memelihara kambing atau itik atau mana-mana binatang yang sama waktu dengannya adalah kelihatan tidak terlalu menjejaskan suasana kampung, tapi sebenarnya dari segi kebersihan ianya tersangat-sangat berpotensi memberi kesan kepada kebersihan kawasan kampung, dengan najis-najis yang tidak mudah reput, ianya boleh saja mengganggu ketenteraman penduduk dalam sebuah kawasan kampung. 

Di Kg. Saman, aktiviti menternak kambing tidaklah menjadi terlalu kompleks pada mulanya sehinggalah aktiviti ini dilihat mula memberi kesan kepada kebersihan tempat-tempat awam seperti tanah perkuburan yang juga sentiasa dikunjungi oleh orang-orang luar. Kita menerima laporan daripada pengunjung yang menegur pengurusan berkenaan hal itu. Dan kita akui bahawa memang terdapat najis-najis binatang tersebut dalam kawasan tanah perkuburan terutama di dalam pondok yang disediakan. 

Atas sebab itu, dalam beberapa mesyuarat JKKK yang diadakan, pengerusi bersama ahli bersepakat untuk bukan hanya tidak membenarkan binatang-binatang ternakan seperti kambing untuk berada dalam kawasan tanah perkuburan malah untuk menghalang mana-mana individu yang menjadikan pondok kubur sebagai  tempat melepak dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat pada waktu malam. Untuk tujuan tersebut, pintu utama tanah perkuburan dikunci dan tiga (3) anak kunci telah dipersetujui diamanahkan kepada Ketua Kampung, Timbalan Pengerusi JKKK dan Pengerusi JKKK.

Sepatutnya keputusan mesyuarat JKKK ini memberi impak yang positif untuk beberapa perkara antaranya, mengawal kemasukan orang luar / asing untuk dikebumikan dalam kawasan tanah perkuburan Kg. Saman, memelihara kebersihan kawasan tanah perkuburan daripada najis-najis binatang seperti kambing dan memastikan tiada tempat untuk anak-anak muda menjalankan aktiviti yang tidak sihat dalam pondok kubur. Alhamdulillah.. secara perlahan-perlahan kita sudah hampir mencapai tiga (3) perkara tersebut, apabila tidak ada lagi aktiviti sosial yang tidak sihat berlaku dalam kawasan tanah perkubura seperti dulu di mana pondok kubur sentiasa menjadi "port" untuk mat-mat gian menghisap gam dan sebagainya. 

Konflik berkenaan kunci pagar tanah perkuburan ini timbul apabila ada pihak yang mengambil ringan masalah najis kambing dalam kawasan perkuburan. Walhal sepatutnya kalau tidak dalam kawasan tanah perkuburan pun, dalam kawasan kampung sahaja sudah tidak dibenarkan binatang-binatang ini bebas berleluasa, kerana ia dilihat boleh mencipta "kacau ganggu" untuk masyarakat lain. Istilah "kacau ganggu" digunakan dalam Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dalam seksyen 80-82 yang menerangkan bagaimana pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang "kacau ganggu" dalam satu kawasan penduduk. Dan jelas dinyatakan dalam seksyen 81 Akta 171, 81. 

"Bagi maksud Akta ini, tindakan boleh diambil secara terus di bawah Akta ini atas perkara yang berikut:

(a) mana-mana premis atau mana-mana bahagiannya dari sesuatu binaan atau dalam sesuatu keadaan yang boleh menjadi suatu kacau ganggu;

(b) apa-apa binatang yang disimpan dalam sesuatu tempat atau dengan sesuatu cara atau dengan sebegitu besar bilangannya hingga menjadi suatu kacau ganggu; 
..................
.................."

Kesimpulannya, kita punya kuasa untuk mengenakan tindakan seperti yang diperuntukan undang-undang tapi kita masih punya rasa toleransi dan hormat menghormati yang sangat tinggi kepada sesama penduduk kampung, kerana yang paling penting untuk menjamin keharmonian hidup sesama penduduk ialah sedaya upaya mengekalkan perpaduan dan meminimumkan kesalahfahaman sesama penduduk. Sehingga pada satu tahap, bila keputusan-keputusan mesyuarat tidak diendahkan dan kita mula dicabar dengan perilaku-perilaku yang tidak sepatutnya, maka kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret kebatilan ke muka pengadilan. 

Sabtu, 13 April 2013

Tulus Menulus Yang Merugikan Kerajaan Dan Masyarakat

Alhamdulillah... Dengan pelbagai kekangan dan halangan dari dalam dan luar yang tidak pernah langsung diketahui oleh orang lain, masih lagi saya bersama anggota-anggota kepimpinan kampung tetap teguh selama bertahun-tahun untuk terus menerus sedaya upaya mengubah panorama fizikal masyarakat dan seterusnya mencapai impian untuk menjadi satu komuniti yang boleh dibanggakan pada satu masa nanti. Saya masih berkira-kira untuk bermula dari mana untuk merungkai konspirasi "dajal kecil" yang menangguh perkembangan Kampung Saman. Inshaa Allah.. akan saya kongsikan satu persatu dengan harapan menjadi pengajaran kepada kepimpinan dan masyarakat lain.

Sebelum ini saya tertanya-tanya dan tercari-cari apa masalah sebenarnya sehinggakan pembangunan fizikal terasa terlalu sukar untuk bertapak di Kampung Saman. Kita tidak rasa yang kita menyokong pembangkang malah terus-terusan mengagung-agungkan kerajaan walaupun seringkali para pendokong harapan kerajaan kepada rakyat di kampung-kampung dan jabatan-jabatan dilihat sudah tidak relevan untuk menjadi peneraju kepada masyarakat yang semakin hari semakin meluat dengan pelbagai karenah mereka yang berjuang demi kepentingan diri dan  keluarga.

Satu sindrom yang hanya menguntungkan satu belah pihak ialah "tulus-menulus". Berkali-kali kita bangkitkan isu "tulus menulus" yang dilihat sudah terlalu sinonim dengan kita. "Tulus menulus" itu sebenarnya amat baik untuk ahli-ahli kita yang setia, bukan untuk mereka yang tidak jelas pendirian mereka sama ada bersama-sama kerajaan atau pembangkang. Setiap tahun malah setiap PRU, muka-muka itu saja yang "ditulus-tulus", padahal belum pun terbukti mereka ini mampu berdiri sendiri untuk mengancam parti kerajaan. Adakah UMNO yang sudah cukup banyak mengharungi cabaran selama ini hanya tunduk mengalah dan memenuhi apa yang mereka hajatkan?

Kita sedia maklum, bahawa kita kalau boleh, segala hal mahu diperhalusi secara lembut dan halus. Konon-konon tidak mahu kecoh-kecoh, ibarat menarik benang dalam tepung, benang tidak putus dan tepung tidak berterabur. Tetapi akhirnya mereka itu juga yang membebankan kita dan rakyat. Apakah kita tidak boleh berdepan secara terus dengan mereka-mereka ini apabila mereka berpihak dengan pembangkang ? Berilah peluang pada mereka untuk berjuang mengikut acuan mereka sendiri tanpa perlu "ditulus-tulus". Kalau ditulus sekali sahaja tidak apa la. Tapi kalau sudah berkali-kali setiap tahun dan setiap pilihanraya, kita yang setia dengan BN selama ini akan rasa pelik, penting sangatkah orang-orang yang ditulus ini sedangkan mereka hanya membawa senarai nama penduduk kepada YB yang kononnya memihak kepada mereka sedangkan nama-nama itu hanya disenarai tanpa pengetahuan penama sebenar. Kita mahu risau apa dengan tu senarai? Itu yang saya pelik.

Perjuangan yang haq tidak mungkin takut untuk berdepan dengan perjuangan yang batil. Sebab itu, dalam Islam sebenarnya tidak ada istilah "diluah mati emak, ditelan mati bapa", kerana yang haq tetap haq, dan yang batil tetap batil. Tiada kompromi untuk "tulus menulus". Kita cuma ada kesempatan untuk duduk semeja berbincang percanggahan pendapat bukan kesempatan untuk ditulus dan menulus. 

Masa Lalu Yang Mengerikan : PRU12

Alhamdulillah.. pada 05 Mei 2013 yang akan datang, kita sekali lagi berhadapan dengan PRU buat kali ke-13. Ada yang menganggap PRU kali ini merupakan ibu segala PRU, sama ada bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang, kedua pihak mengakui PRU13 merupakan penentu survival politik parti masing-masing. Seperti kebiasaan setiap PRU sebelum ini, jentera setiap parti masing-masing sibuk bersiap sedia untuk berhadapan dengan parti lawan selama lebih 10 hari selepas penamaan calon pada 20 April 2013 nanti. 

Bersama-sama barisan pemuda di UMNO Cawangan Kg. Saman, sekali sekala kita berkongsi cerita dan pengalaman-pengalaman PRU yang lampau. PRU12 yang menjadi hangat di kalangan pemuda cawangan saya, apabila mereka mengadu hanya dibayar elaun bertugas di bahagian poster sebanyak hanya RM50.00 untuk sepuluh (10) hari selama berkempen. Sedangkan di kawasan daerah mengundi yang lain ada yang dibayar RM30.00 untuk satu hari bertugas. Saya yang pada ketika itu masih belum tamat pengajian dan masih belum layak untuk mengundi tergamam kerana tidak tahu menahu apa yang berlaku dan hanya mampu mendiamkan diri dan seperti biasa memberitahu mereka bahawa parti kerajaan sudah cukup bersedia untuk berdepan PRU tetapi sekali lagi masalah utama antara kerajaan dan rakyat ialah orang-orang perantaraan yang dipertanggungjawab. 

Bagaimana untuk kita yakinkan anak muda masa kini untuk terus beri kerjasama dengan barisan kepimpinan kita di peringkat daerah mengundi jika sekiranya orang-orang perantara terus menerus memikirkan kepentinggan diri tanpa bertindak seperti seorang pemimpin tapi lebih selesa bertindak sebagai seorang penyamun menyamun hak-hak orang lain? Sebab itu saya komited menyatakan bahawa masalah dalam parti kerajaan atau kerajaan yang memerintah ialah perantara antara kerajaan dan rakyat. Dari segala aspek pun, yang menjadi masalah ialah diperingkat pertengahan yang dikawal selia oleh mereka ini. Mungkin tidak semua tapi terlalu banyak yang menjurus kepada kemungkinan itu. 

Dan hari ini saya maklumkan kepada mereka, sekiranya punya masa dan mahu bertugas di bilik gerakan PDM Berungis, silakanlah datang untuk membantu jentera. Mudah-mudahan mereka sudah lupa dengan apa yang berlaku 4 tahun lepas yang saya anggap satu penipuan yang tidak bertanggungjawab daripada mereka yang dipertanggungjawabkan. Saat ini bukanlah untuk menuding jari itu dan ini tapi sebenarnya lebih untuk memuhasabah diri, jangan sampai pisang akan berbuah dua kali.

Satu lagi persoalan kenapa agaknya Kg. Saman seolah-olah dianaktirikan dan terasa terlalu sukar untuk segala pembangunan fizikal bertapak di Kg. Saman. Adakah kerana majoriti penduduk Kg. Saman adalah penyokong pembangkang ? Atau barangkali ada sesuatu yang lebih ekstrim yang tidak pernah terfikir oleh kita yang berlaku kepada sebuah kampung yang punya satu gerak usaha yang tidak langsung dipunyai oleh kampung-kampung lain di Tuaran khususnya di kawasan Sulaman. Kita akan bongkar satu persatu dalam entri-entri seterusnya sebagai pengajaran kepada kampung-kampung yang lain kerana sebenarnya masa depan sesuatu kampung adalah sangat bergantung kepada ketulusan individu atau kumpulan individu tertentu untuk membantu, Inshaa Allah.. selagi ianya betul dan bukan untuk kepentingan peribadi... selagi itu kita akan pertahankan kebenaran yang kita patut punya hak yang sama dengan atau lebih daripada kampung-kampung lain yang mana pemimpinnya tidak langsung boleh menyaingi apa yang kita sudah lakukan. Itu sudah terbukti kerana saya bergelumang dengan kerja-kerja memperkasakan kampung ini bukan baru sehari dua malah bertahun-tahun, tapi ianya tetap sama dengan pelbagai kekangan dan halangan yang nyata. =)) 

Khamis, 4 April 2013

Bangunan Kemudahan Penting

Masalah utama di dalam menguruskan Kg. Saman ialah tiada satu bangunan kemudahan yang betul-betul boleh dijadikan kemudahan utama untuk penduduk sekurang-kurangnya berkumpul dan berbincang permasalahan-permasalahan semasa dan seterusnya berpotensi untuk sesuatu yang lebih baik, meskipun telah wujud selama enam (6) tahun sejak 2007. 

Semasa mesyuarat pertama Jawatankuasa KRT Sinar Saman, saya juga memaklumkan perkara ini kepada barisan jawatankuasa yang majoriti lebih dulu makan garam daripada saya. Saya melihat perkara ini tersangat-sangat serius kerana kita tidak mampu lagi untuk terus menanti dan dijanjikan itu dan ini, begitu dan begini, sekian dan sekian, kerana jika dibiarkan tanpa ada satu tindakan yang lebih aggresif ianya akan menjadi dinding tebal yang menghalang pembangunan minda dan fizikal masyarakat kampung. 

Bangunan kemudahan memang tersangat penting dalam satu-satu komuniti. Selain untuk tujuan yang biasa kita tahu, ianya juga boleh menyatupadukan penduduk secara tidak langsung. Setiap masyarakat akan terasa seakan ada sesuatu yang dipertahankan sekiranya wujud bangunan kemudahan yang menjadi simbol kesamaan masyarakat kampung. Entah apa yang menghalang untuk satu bangunan kemudahan diwujudkan di Kampung Saman, Tuaran. Kita sudah memohon melalui pelbagai saluran KEMAS, JHEAINS, PEJABAT DAERAH, melalui pelbagai cara dan pelbagai kertas kerja tetapi masih tetap sama, tiada respon yang memberangsangkan daripada pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, yang seterusnya merencatkan pembangunan bangsa kita sendiri.

...bersambung kemudian di posting akan datang...