Alhamdulillah berkat semangat
yang tidak pernah mengaku kalah, Barisan Nasional sekali lagi diberi mandat
oleh rakyat untuk menjadi kerajaan. Alhamdulillah.. Perit jenuh barisan
kepimpinan di setiap peringkat akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan
mempertahankan kuasa. Syabas untuk semua jentera BN di setiap peringkat. Dan
tahniah kepada semua yang terlibat dalam mana-mana pertandingan kerana berjaya
mengekalkan perpaduan yang kita ada selama ini.
Pelbagai cabaran dihadapi dan
ditangani sebaiknya oleh UMNO Bahagian Tuaran, yang menjadi tunjang kekuatan BN
di Parlimen Tuaran khususnya, sebelum gendang pertandingan PRU13 dipalu. Dalam
suasana berkempen, satu-satunya matlamat dalam diri setiap jentera dan
penyokong ialah untuk menang PRU13. Matlamat sudah dicapai, kini masa untuk
kerajaan mengotakan janji. Masa untuk pemimpin yang dipilih untuk memberi
khidmat. Dengan kesedaran banyak perkara yang perlu diubah dan masih mampu
diubah, BN perlu menggunakan kesempatan lima (5) tahun yang diberikan oleh
rakyat ini untuk membuktikan BN dan UMNO masih relevan untuk menjadi kerajaan,
dan untuk menjadi sentiasa relevan, BN atau UMNO khususnya di peringkat
bahagian dan cawangan perlu sedia untuk diubah, samaada oleh rakyat ataupun
ahli sendiri.
Selepas peralihan kuasa pada
tahun 2008, transformasi UMNO di peringkat pusat digerakkan dengan pelbagai “perkara
baru” diperkenalkan dan lebih banyak “perkara lapuk” diperbaharui oleh
kepimpinan tertinggi dalam usaha untuk merelevankan UMNO dan Barisan Nasional
sebagai kerajaan. Ibarat satu kapal besar yang terlajak, bukan mudah untuk
ianya memperbetulkan semula haluan, begitulah UMNO. Masa berlalu dengan pantas,
keberanian UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib menerapkan budaya
baru dalam UMNO dan BN sebagai usaha menjaga perpaduan rakyat, sudah boleh
diterima oleh rakyat khususnya orang Melayu.
Alhamdulillah.. Di peringkat PDM
Berungis , walaupun ada cawangan UMNO yang enggan memberi kerjasama sepenuhnya
kepada kepimpinan DM, namun tidaklah sampai menghalang ahli untuk
mengundi BN atau berkempen untuk lawan dalam PRU13. Ini menunjukkan bahawa
kepimpinan di peringkat cawangan bersikap lebih matang dan tahu hala tuju dan
matlamat parti.
Salah satu sebab kenapa
kepimpinan cawangan enggan memberi kerjasama kepada DM ialah kerana tidak
bersetuju dengan perlantikan Ketua DM. Ketua DM yang punya sejarah hitam
sendiri seolah-olah menjadi igauan ngeri kepada kepimpinan cawangan. Dengan
kata lain, kegagalan DM pada PRU12, telah meletakkan “beban luar kawal”
kepada kepimpinan cawangan untuk mengurus ahli dalam cawangannya yang tidak
percaya dengan kepimpinan DM. Dan atas sebab itu, sebagai langkah paling selamat dan mengelakkan kebencian ahli kepada jentera parti sendiri, kepimpinan cawangan
berpendapat adalah lebih baik untuk mengurus sendiri ahlinya dan cuma perlu memastikan
mereka mengundi BN dalam PRU13.
Faktor lain, yang berlaku antara
kepimpinan pemuda cawangan Kg. Saman dengan DM Berungis adalah seperti yang didedahkan
secara panjang lebar di dalam entri-entri sebelum ini. Alhamdulillah, walaupun pertelagahan
pendapat berlaku antara kepimpinan pemuda cawangan dan DM , dan antara Ketua
Cawangan dan DM, tetapi usaha untuk memastikan undi ahli cawangan tetap untuk
BN adalah menjadi keutamaan. Tidak timbul cerita untuk mensabotaj parti. Hanya
yang ada ialah toleransi diberikan oleh kepimpinan cawangan yang mungkin kalau
tidak berlaku, perpecahan lebih besar akan berlaku di peringkat DM.
Kemenangan besar BN di N10
Sulaman tidak boleh dijadikan sebab untuk kita mendabik dada, sebaliknya
kegagalan mempertahankan kerusi DUN N9. Tamparuli dan kemenangan tipis kerusi Dun
N11 Kiulu memberi isyarat kepada BN khususnya UMNO betapa ada sesuatu yang
tidak seimbang di dalam kawasan Parlimen di Tuaran sehingga berlaku peralihan
undi pemilih sedemikian. Antara faktor yang menyumbang kepada statistik keputusan
seperti ini ialah kegagalan jentera-jentera parti komponen BN yang mewakili
ahli-ahli BN di Tamparuli dan kiulu untuk bergerak sama hebat dengan jentera
UMNO di Sulaman.
Pertambahan 100 % majoriti
diperolehi BN di Sulaman adalah dibantu oleh pertelingkahan sesama sendiri
pemimpin-pemimpin PR di Tuaran, dan kebanyakannya bersetuju, jika sekiranya
calon lain seperti yang diharapkan penyokong pembangkang sebelum ini diletakkan di Sulaman, segalanya
pasti tidak mudah untuk BN di kawasan parlimen Tuaran. Secara rambang dengan
pertambahan jumlah pemilih yang keluar mengundi lebih 10,000 orang di Tuaran,
BN hanya mampu menarik sekitar 3,000 undi dan 7,000 pertambahan undi untuk
pembangkang berbanding PRU12, dan menyebabkan majoriti BN bagi kerusi parlimen
Tuaran berkurang sehingga melebihi 1,500 undi.
Kesungguhan dan keunggulan BN dan
UMNO di peringkat pusat yang direncana sejak 2008 merupakan segala-galanya
dalam PRU13. Pelbagai inisiatif dan idea baru daripada kerajaan pusat dilihat
sedikit sebanyak menarik semula sokongan yang pernah hilang dalam PRU12 yang
lalu. Sebaliknya ketandusan idea dan inisiatif jentera di peringkat bahagian
dan daerah mengundi hanya meninggalkan seribu pertanyaan dalam kepala ahli dan
penyokong UMNO sendiri.