Halaman

Sabtu, 23 Februari 2013

Ragam Sang Parasit

Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh..

Dengan nama Allah SWT yang maha pengasih lagi maha penyayang..

Mohon izin untuk saya merasmikan blog ini dengan sedikit celoteh ringkas agar arah penulisan selepas ini sentiasa di landasan yang sepatutnya tanpa ada rasa prejudis dan kesalahtafsiran yang melampau-lampau.

Selama lebih sepuluh (10) tahun bergelumang suka dan duka politik kampungan sejak di bangku sekolah, dengan harapan melihat generasi masa depan akan sekurang-kurangnya menjadi lebih baik walaupun sekadar dalam satu kerangka sosial yang terhad, hanya satu (1) yang terlintas dalam fikiran iaitu bagaimana begitu tebal rasa kekitaan dalam keluarga masing-masing menghalang untuk kita membentuk keharmonian dalam satu-satu masyarakat. Masyarakat menjadi semakin berkabilah. Membelakangi hukum-hukum Tuhan tanpa segan silu, tanpa ada lagi rasa sebagai seorang hamba kepadaNya. Sesuatu yang perlu diatasi terlebih dahulu jika mahu kita terus hidup dalam sifat keharmonian yang tinggi.

Menjana pelbagai jentera-jentera yang memproses asas kemajuan dan pembangunan masyarakat dari semasa ke semasa menjadikan dunia terasa sangat seronok, lebih-lebih lagi ada ruang-ruang yang dulu kita rasakan terlalu luas , alhamdulillah kini semakin mengecil. Masyarakat menjadi semakin ambil berat antara satu sama lain, dan bangga dengan tempat di mana mereka berada sekarang. Itulah sepatutnya apa yang kita perlu tuju.

Keadaan ini sedaya upaya dipertahankan sehingga ke hari ini, walau terkadang rasa lelah itu sering menimbulkan rasa sesal dalam diri bila semua yang kita rancang dengan rapi selama bertahun-tahun digagalkan oleh mereka yang punya kuasa pinjaman dalam masa seminggu dua. Bukanlah terlalu gemar untuk menuding jari tetapi hakikatnya kita sudah sedaya upaya menakhoda masyarakat dengan sedikit kelebihan kurniaan Tuhan, tinggal saja ada beberapa perkara yang tidak jelas yang kadang-kadang terasa seakan kemajuan untuk kita disekat-sekat sehingga terlalu banyak masa yang berlalu tanpa ada apa-apa kemajuan fizikal iaitu sesuatu yang berada di luar kawalan kita secara total.

Bila tiba pada peringkat yang bukan kawalan kita, di situ lah para parasit bergerak untuk menghukum kita dan masyarakat tanpa sedar. Kepentingan sesama masyarakat tidak lagi menjadi keutamaan, yang utama bagi mereka ialah poket sendiri, ini terbukti dengan pelbagai projek yang dilaksanakan dengan nyata tidak seperti yang diharapkan. Ini lah golongan parasit yang kononya tidak berkepentingan dalam politik yang sepatutnya dibersihkan terlebih dahulu di dalam badan-badan kerajaan sejak dari dulu, bukan untuk disanjung-sanjung.

Kita rasa jelik, bila ada yang nyata menyelewengkan kepentingan masyarakat terus-menerus mampu tersenyum seakan-akan punya perisai sendiri yang meletakkan mereka kebal dari sebarang jenis hukuman. Kita pula yang terkial-kial apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa susah sangat bagi kita untuk ketuk kepala golongan-golongan yang menyempitkan hak masyarakat kita? Sedangkan itulah nanah yang semakin membusuk secara senyap merosakkan organisasi dalam mana-mana peringkat sekalipun.

Bermula dengan keyakinan bahawa impak daripada kaedah bagaimana jabatan-jabatan merealisasikan harapan kerajaan terhadap masyarakat hari ini adalah begitu besar terhadap survival parti politik kerajaan khususnya UMNO, saya rasa tidak menjadi satu kesalahan untuk terus memperkatakan apa yang sebenarnya berlaku dalam kerajaan berdasarkan pengalaman sendiri yang tidak seberapa. Kerana biarpun Barisan Nasional masih berkuasa sebagai kerajaan kemungkinan adalah tinggi untuk perkara yang sama tetap berlaku pada masa akan datang seperti apa yang berlaku pada hari ini dalam masyarakat kita, jika kita tidak berani langsung untuk menjentik telinga mereka walau sedikit.

Keutamaan kita masyarakat kita , bukan kepentingan politik semata-mata... Tq